Sempena menyambut tahun 2016 yang bakal
tiba tidak lama lagi sekaligus meninggalkan tahun 2015, biarlah saya ambil
berkongsi sedikit bahan bacaan saya di tahun 2015 ini. Saya malas hendak
menulis panjang berjela serupa Tembok China, jadi inilah bahan bacaan saya dari
awal Januari sehingga 29 Disember 2015.
Cengkidaut !
Lesong karya Hafiz
Zainuddin adalah buku pertama yang saya baca untuk tahun 2015. Sejenis buku
berbentuk pemikiran yang dipenihi dengan esei, catatan dan beberapa perkara
yang saya sudah lupa. Menceritakan tentang kejadian dan pengalaman yang jarang
sekali kita bercakap mengenainya di kedai kopi.
30 Januari saya habiskan
masa dengan membaca Catatan Mat Luthfi. Buku yang isinya diambil dari tweet dan
qoutes dari video Mat Luthfi, dipenuhi dengan ayat-ayat sarkastik tentang
politik, ekonomi, sosial, kahwin muda dan ianya mengajak kita berfikir secara
realistik dan melupakan angan-angan Mat Jenin memanjat pokok kelapa.
Cerita Bola Sepak Malaysia
tulisan Lucius Maximus pula himpunan 14 cerita dari jemaah penggila bola sepak
Malaysia. Saya tidak tahu dari mana Lucius Maximus boleh mendapatkan
fakta-fakta yang kita tidak ambil kisah dan jarang sekali muncul di carian
google. Buku ini adalah buku yang terbaik buat penggemar bola sepak Malaysia
untuk mengenal sejarah yang kian pupus.
Tulisan Hasrul Rizwan tidak
pernah menghampakan. Jahanam diperbuat dengan penuh kasih sayang, jalan cerita
yang menarik dan plot twist yang diadun sebati dan hasilnya sangat
menghiburkan. Mengisahkan tentang adik Junaidi- Bercakap Dengan Jun membalas
dendam terhadap kematian tunangnya. Sebelum membaca Jahanam, dinasihatkan
supaya khatam Murtad, Tuhan dan Bercakap Dengan Jun terlebih dahulu.
"Tak lelakilah
kalau tak main bola, tak tengok bola kat tivi kedai mamak, bro!" Kata
Berahim Prewel Mati sambil menggaru-garu celah kelangkang sport short warna
merah yang dia sedang pakai. Ya, ini adalah sedkit cebisan dari buku Lelaki
Simpanan keluaran Sindiket Sol-Jah dan ianya dihasilkan dari kompilasi
penulis-penulis otai Sindiket Sol-Jah. Buku ini berbaloi dimiliki jika anda
mengalami masalah kemurungan.
Kata bijak pandai,
"Sejarah ditulis oleh mereka yang menang". Begitulah Dr. Mat Saleeh
dalam buku Sebungkus Kuaci Cap Helang, juga keluaran Sindiket Sol-Jah.
Menceritakan sebuah penjelasan yang memberi pengertian dan kefahaman tentang
apa yang berlaku seputar kehidupan diri dan masyarakat setempat pada
tahun-tahun 70an dan 80an, terutama di tempat dia dibesarkan - Chemor, Perak
(dan beberapa tempat lain).
Rebel air tangan penulis
sohor Saat Omar menyentuh tentang persahabatan, identiti dan persoalan
generasi. Tidak banyak yang boleh saya katakan tentang buku ini kerana saya
sudah lupa isinya namun apa yang boleh saya katakan ianya salah satu novel
terbaik saya baca untuk tahun 2015.
Pendek Mabuk Gila keluaran
Neon Terbit yang ditulis oleh Ahmad Kamal Abu Bakar, pengendali blog Semusim Di
Nerakamemaparkan himpunan cerita-cerita terpilih yang pernah disiarkan dalam di
blog sepanjang 2007 - 2010. Apa yang saya boleh rumuskan di sini, otak saya
mengalami kekejangan semasa cuba mengkhatam naskah ini.
Di dalam buku Limelight,
pelakon kegilaan anak muda di suatu ketika dahulu iaitu Faizal Hussein,
menceritakan bibit-bibit manis berlakon dalam enam filem terpenting di dalam
hidupnya; Antara filem-filem yang membawanya melonjak naik ialah Gila-gila
Remaja (1985), Kanta Serigala (1992), XX Ray (1993), Fantasia (1994), Leftenen
Adnan (2000) dan Bunohan (2012). Dan Faizal Hussein juga menceritakan bagaimana
korupnya industri filem kita.
Perempuan Tua Di Kedai Sup
karya Petak Daud terbitan Dubook Press ini tidak banyak yang boleh saya
bercakap mengenainya kerana sampai sekarang saya belum habis membacanya.
Juga terbitan Sindiket
Sol-Jah, Madame Bokary dihasilkan oleh penulis romantik dan sweet 666 iaitu
Fikri Kacak dan Pelangi Bin Awan, tulisan di dalam buku ini mengajak kita
mencintai dan menghargai emak kita dalam diam.
Timbul Tenggelam adalah
komentar sosial Tok Rimau tentang pertualangan hariannya. Ceritanya
pendek-pendek dan menghiburkan. Sesuai dibaca ketika menunggu bas datang,
kuliah bermula, kapal terbang berangkat dan kekasih hati siap berdandan. Juga
keluaran Sindiket Sol-Jah.
Mat Tiara 2: Le Lipisien
terbitan Poket Press dihasilkan catatan-catatan dan cerita pendek dari blog
Ahmad Belia. Buku yang agak merepek namun sesuai dibaca ketika bergaduh atau
bermasam muka dengan kutu-kutu kampung.
Di dalam Brader Mellow,
Godforsaken Land Dan Cerita-Cerita Mat Kilang keluaran Studio Anai-Anai, Stam
Mustapha menulis cerita-cerita tentang dia, kawan-kawan dia, penyelia dia, dan
bos dia; pendek kata, dia menulis tentang komuniti mat kilang tempat dia
bekerja, nun di sana, di bandar Godforsaken Land. Sangat sesuai dibaca ketika
anda baru lepas makan nasi.
Mantot menulis Cursing
Malay terus dari hatinya. Meski tanpa pedang yang tajam, karyanya masih mampu
menikam dan meninggalkan luka yang dalam bagi mereka yang faham. Tidak perlu
metafora meleret bila berkarya dan itulah Mantot, melayu yang menyumpah.
Sama seperti Perempuan Tua
Di Kedai Sup, buku Peripeteia Tragedi Yunani tulisan Nazim Masnawi ini tidak
sempat saya khatam. Mengikut perkiraan saya, buku ini mengajar kita bagaimana
mahu memaki hamun dengan betul dan bergaya.
Saring Sebelum Mereng sama
seperti Cursing Malay. Juga keluaran Dubook Press, Mat Rodi menjawab kesemua
persoalan tersebut di dalam Saring Sebelum Mereng ini. Buku ini adalah koleksi
tulisan-tulisan Mat Rodi yang mengajak masyarakat untuk memilih pendirian tanpa
perlu memihak.
Karya Agong tulisan Nasron
Yasin menceritakan mengenai bertapa kucar-kacirnya masyarakat Melayu. Buku ini
dipenuhi dengan ayat-ayat sarkastik melampau (bagi orang yang mudah terasa) dan
membuatkan ramai pembaca Melayu berkecil hati.
Buku Memoir Bukan Memoir
keluaran Merpati Jingga, karya Pekin Ibrahim. Tak best langsung buku ni, rugi
jeeeee.
Sampai sekarang saya masih
tertanya-tanya; di usia yang hendak menjangkau 50 tahun ini, entah macam mana
saya boleh memiliki dan terbaca Renyah karya Gunawan Mahmood ini, padahal buku
ini untuk pelajar tingkatan 4. Saya fikir, saya tidak pulangkan buku Renyah ini
kepada pihak sekolah masa saya tingkatan 4 dulu.
Buku Tora Datang Lagi hasil
daya ingatan Amirul Bozu ini berupaya mengenang kembali memori Suria Baja Hitam
dengan lebih terperinci. Untuk generasi Z, saya cadangkan anda memiliki buku
power ini secepat mungkin demi mengembalikan zaman-zaman kegemilangan bermain
cuit tiang, bom plug, tepuk kad, cara-cara membuat meriam tanah dan beberapa
permainan lain supaya tidak dimakan dek teknologi canggih.
Suka saya mengingatkan di
sini, buku Sembang Tepi Jalan: Syurga Yang Hilang ini bukan karya The Faiz
Ibrahim yang selalu acah-acah 'deep'. Bukan. Buku yang agak 'deep' ini
dihasilkan oleh buskers tersohor Meor Yusof Aziddin.
Untuk manusia yang malas
membaca, saya cadangkan anda membaca buku Sesembang keluaran Dubook Press ini.
Gambar kartun yang menarik dan dialog yang sedikit mampu menceriakan hari anda
seperti anak kecil dapat krayon dan kertas lukisan.
Orang Ngomong Anjing Gong
Gong ni buku menda, woi ? Status Pesbuk je ni....aduhhhhh.
Amran Fans ni pulak buku
menda ? Status Pesbuk jeeee
Ok. Di saat saya hendak
marah, berkecamuk dan mata berkaca akibat berasa sedih kerana terpedaya dengan
buku Sesembang dan Amran Fans, semua perasaan itu hilang ketika saya membaca
buku Yak Bok Te karya Amin Landak ini. Tak jadi hendak mengamuk.
Catatan Seorang Askar salah
satu buku terbaik saya baca untuk tahun ini. Menceritakan liku-liku kehidupan
seorang askar menjalani latihan tentera. Jika anda hilang semangat hendak
hidup, buku ini mampu mengembalikan semangat perjuangan harmoni dan pastinya
anda tidak kering gusi di saat anda menyelak satu demi satu helaian buku ini.
Sama seperti Catatan
Seorang Askar, Orang Pahang Berlawan Bola Dengan Viking keluaran Neon Terbit
juga sangat menghiburkan pembaca. Jika anda baru hendak membacanya, saya nasihatkan
sebelum anda membaca buku ini jangan makan nasi terlebih dahulu. Saya bimbang
nasi yang anda makan akan keluar balik, muntah nasi akibat gelak tawa yang
melampau.
Superfiksyen keluaran Moka
Mocha Ink merupakan antologi yang memuatkan dua belas cerpen bertema adiwira,
dari kisah kematian superhero, ke naratif sidekick, antihero dan supervillain,
selain hal-hal lazim kehidupan adiwira di pagi Ahad.
Satu Sudu Teh Selepas Makan
menceritakan tentang pengalaman doktor dan bakal doktor, dan sudah pasti ianya
bukan berkisarkan tentang penagih dadah. Buku keluaran Studio Anai-Anai ini
bagus dimiliki oleh setiap insan supaya kita mengenal/tahu yang doktor adalah
orang tengah, orang yang bekerja di dalam bangunan di mana kelahiran dan
kematian bertemu.
Marxisme Untuk Pemula tidak
hanya menelaah pemikiran Marx, ia juga membincangkan perkembangan Marxisme
secara menyeluruh: merentang dari Engels, Lenin, Trotsky, Gramsci, Mazhab
Franfurt, Althusser, sampai Laclau dan Mouffe. Buku ini mengulas penafsiran
posmodern atas Marxisme dan membangkitkan 'Pos-Marxisme' dalam konfrontasi
Derrida dengan doktrin 'akhir sejarahnya' Fukuyama. Rumit juga buku ni
sebenarnya.
Buku Terima Kasih S i Babi
Hutan ini tidak sempat saya khatam secara total. Jujurnya saya tidak faham
dengan isi buku ini. Jadi untuk mengelakkan saya merasa rugi, saya jual buku
ini kepada rakan saya dengan harga rm30 dan wang itu saya gunakan untuk membeli
Mekdi, support Yahudi.
Sama seperti Cursing Malay,
Aku Tak Peduli dipenuhi dengan penulisan tajam, sinis, pedas dan teliti. Aku
Tak Peduli mungkin satu-satunya artifak internet zaman kegemilangan blogosfera
Melayu yang kekal relevan hingga hari ini.
Sempena hari jadi saya,
kawan saya memberi hadiah buku Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck karya Buya
Hamka. Saya rasa tidak perlu saya katakan tentang buku ini kerana saya tahu
ramai pembaca di luar yang sudah berjaya khatam buku ini dan tahu bagaimana
jalan ceritanya.
Buku terbitan Neon Terbit
tidak pernah menghampakan, sekurang-kurangnya untuk setakat ini. Mat Kampung
Ketiar tulisan Hashim Zabidi menceritakan bagaimana pahitnya Mat Jan kehilangan
satu telur akibat disondol babi.
Polaroid dari Moka Mocha
Ink menceritakan tentang seorang lelaki dalam mengejar cinta, memori dan makna
hidup.
Komrad Cinta tulisan Nomy Nozwir
juga menceritakan tentang memori, makna hidup dan mengajar kita hukuman apa
yang elok dikenakan untuk penyailang cinta. Orang yang baru putus cinta
dinasihatkan menjauhkan diri daripada buku ini, bimbang nanti anda akan gantung
diri sendiri.
Kancil-Man tulisan Ahmad
Belia. Mengisahkan seorang lelaki bernama Joe menghadapi cabaran sebagai
seorang rockers. Kisah Joe boleh dijadikan pengajaran hidup untuk kita supaya
mempedulikan cakap-cakap belakang.
Bukan Perempuan Sundal
antara buku terawal keluaran Dubook Press. Jalan ceritanya yang menarik,
berkisarkan tentang dendam seorang perempuan yang mahu membalas dendam terhadap
sepupunya kerana membinasakan kehidupannya.
Saya menyukai tulisan
Ridhwan Saidi kerana ada sesetengah bahagian di dalam bukunya agak kelakar dan
menarik. Brazil keluaran Fixi berjaya membawa pembaca meneroka negara Brazil
dengan jayanya. Di saat saya berbaring membaca buku ini, saya rasa turut
bersama berada di Brazil.
Buku antologi lukis dan
tulis iaitu Garis keluaran Fixi. Buku ini langsung tidak sedap dibaca, saya
memilikinya kerana ia adalah edisi terhad.
Qisas. Seperti yang yang
katakan tadi, tulisan Hasrul Rizhwan tidak pernah menghampakan. Dengan ramuan
jalan cerita yang menarik, plot twist, penggunaan loghat Kedah dan nama watak
yang menghiburkan, kesemua ramuan itu diadun sebati dan hasil sangat Bombastik
!
Dompet Kulit Buaya ni buku
menda pulak ?! Skip !
Che Untuk Pemula adalah
buku yang mengisahkan keseluruhan kehidupan Che Guevera dari lahir hingga nafas
terakhir. Jangan mengaku aktivis kalau tak kenal Che Guevara, simbol revolusi
anak muda. Lahir untuk revolusi, Che mempelopori gerakan pembebasan di Amerika
Latin.
Selain gemar membaca
buku-buku yang sedap dibaca secara runcit-runcit, saya juga gemar membaca buku
yang agak mencabar minda. Misalnya buku Teori Pengerakan Sosial; Kilasan
Sejarah Dan Catatan Bibliografis. Tetapi malangnya, otak saya tidak mampu
menghadamnya.
Lenin Dan Teori Praktek
Revolisioner. Buku ini menguraikan gagasan-gagasan Lenin dan peranannya dalam
Revolusi Rusia 1917. Rusia menjadi rujukkan karana tanpa itu mustahil untuk
memahami Lenin yang percaya bahawa teori dan praktik tak bisa dipisahkan.
Surat Surat Cinta Yang Tak
Kesampaian ni saya tak boleh pergi sangat.
Pengembaraan Tanah Jepun
sebuah travelog dan catatan pengalaman penulis yang juga dikenali sebagai Din
Akar yang juga penulis siri zine punk Roots, bersama band Hellexist (Johor
Bahru, MY) dalam serangan musikal ke atas Tanah Jepun.
Buku Konflik Di Hati
Enrique menghimpunkan sepuluh buah cerpen hasil karya Nazri Hussein (Husna
Nazri) yang dipersembahkan secara tegar dan matang. Semuanya digarap melalui
sentuhan seni sastera yang mulus dan tersirat. Cerpen yang menjuduli buku ini
mengetengahkan tentang pencarian terhadap warisan dan jati diri yang dipadamkan
oleh sejarah masa silam.
Kuda-Kuda Lembah Patagonia
pula bertemakan tentang sukan, cerpen-cerpennya digarap melangkaui sempadan
geografi dengan keperlbagaian budaya sebagai latarnya. Bermula dengan kisah si
gadis yang gilakan bola sepak sehingga kisah budak lelaki dan judonya, cerpen
ini membawa semangat sukan dalam fiksyen yang begitu mengesankan.
Karya-karya di dalam
Sekapur Sirih Daripada Teja terlahir setelah sekian lama menyulam cita dalam
cinta dan menyelam maknawi yang hakiki.
Menghayati alur cerita
dalam novel Jajahan Bonda, ianya menyedarkan generasi kini tentang perlunya
mereka menyebatikan sikap bersatu padu, bertanggungjawab, bekerjasama, dan
saling membantu dalam diri masing-masing selain menghendaki mereka meletakkan
sikap berkasih sayang, bertoleransi, gigih, sabar, tabah dan berani.
Cerpen-cerpen di dalam
Langit Runtuh mengetengahkan polemik manusia dalam diri sendiri dengan dunia
realiti.
Buku Laki Garden adalah
himpunan cerita daripada tiga orang bini tentang laki mereka. Kisah sweet-sweet
yang menjadi tali pengikat hubungan mereka. Tali yang kita tak boleh nampak
dengan mata kasar, tetapi kita tahu tali itu ada di situ.
Licik keluaran Fixi
mengisahkanFira diajar oleh ayahnya Alias untuk menjadi con artist yang
sempurna. Dari Skim Cepat Kaya ke skim melarikan wang hantaran, semuanya
disapu. Buku ini termasuk dalam kategori 'Rare' apabila Fixi tidak lagi
menjualnya atau dalam erti kata lain, berhenti daripada cetakan baru.
Isteri mengisahkan seorang
model rupawan bernama Alma Dolores mati dibunuh. Buku Isteri ini asalnya buku
karya penulis Indonnesia yang bertajuk Misteri Dendam Seorang Isteri tetapi
diterjemahkan oleh Fixi. Sama seperti Licik, Isteri juga termasuk dalam
kategori 'Rare'.
Buku Di Bawah Lindungan
Kaabah ini tidak perlu saya ulaskan lebih lanjut kerana saya tahu, pembaca di
luar sana terlebih dahulu membacanya berbanding saya.
Merantau Ke Deli pun saya
malas nak ulas.
Sudah saya katakan seperti
sebelum ini, air tangan Hasrul Rishwan tidak pernah menghampakan. Sarsaparilla
terdiri daripada cerpen-cerpen hilang akal.
Rasok oleh Petak Daud. Juga
himpunan cerpen-cerpen hilang akal.
Mampus oleh Fasyali Fadzly.
Buku ini saiznya sama seperti Sarsaparilla dan Rasok, ianya berukuran sebesar
Nokia Express Music dan mudah dimasukkan ke dalam poket seluar. Bezanya Mampus
ini, ianya cerpan yang mengisahkan roh seorang pemuda yang berkeliaran bebas di
dalam rumah sewanya.
Buku Tuan Direktur pun
malas saya nak ulas.
Jangan terpedaya dengan
buku bertajuk Ulama Yang Bukan Pewaris Nabi. Ini bukan buku Syiah. Sama seperti
Cursing Malay, Keldai Dan Kitab dan Aku Tak Peduli.
Cinta Keindahan Kesunyian
oleh Kahlil Gibran. Jika anda mahu menulis syair, puisi, atau madah berhelah,
buku ini adalah yang terbaik untuk anda melakukan uji kaji.
Kisah 5 sekawan. 5CM
menceritakan tentang perjalanan 5 sekawan yang terdiri daripada 4 lelaki 1
perempuan menjalani kehidupan menuju alam dewasa. Buku ini jadi tak best kerana
terlalu banyak qoute dari penulis dan tokoh tersohor.
Buku pertama Lejen Press
yang saya baca untuk tahun 2015. Certot Gila dihasilkan daripada 40 certot yang
memenangi sebuah pertandingan menulis certot bertemakan Gila yang dianjurkan
oleh Lejen Press. Sebuah certot saya turut memenangi pertandingan itu dan
hasilnya saya dapat 10 buah buku Certot Gila secara percuma.
Kukila sebuah buku
berbahasa Indonesia. Karya penulis terkemuka M. Ann Mansyur. Cerpen-cerpen yang
sedap dibaca sebelum tidur menghiasi di dalamnya.
Juga sebuah buku dari
Indonesia. Negeri Para Bedebah menceritakan bertapa korupnya pemimpin atasan.
Sambungan Negeri Para
Bedebah, Negeri Di Hujung Tanduk juga menceritakan hal yang sama. Bezanya kali
ini, Negeri Di Hujung Tanduk tampil lebih berani dalam menceritakan bertapa
korupnya pemimpin politik dan orang atasan.
Stereo Genmai ni saya tak
faham sangat ni.
Mautopia pun sama juga.
Susah nak hadam ni.
Cerpan Dua keluaran Fixi.
Juga salah satu buku edisi terhad yang ditulis oleh Dayang Noor dan Shaz Johar.
Mengikut khabar angin seperti yang ditulis di halaman pertama buku ini, cerita
di dalam buku ini boleh dibaca dalam Wattpad awal Januari 2016 nanti.
Pecah yang juga keluaran
Fixi. Menceritakan kisah sekawan pemuda melakukan rompakan bank dan
diselang-selikan dengan kisah-kisah lama yang terungkap.
Juga buku edisi terhad
keluaran Fixi, cerpen-cerpen di dalam Malam agak hambar. Saya memiliki buku
Malam ini hanya kerana ianya edisi terhad, jika bukan kerana edisi terhad,
sudah pasti saya tidak akan memilikinya kerana ranting di Goodgeads hanya 3
bintang dan ke bawah.
Tsukuru Tazaki Tanpa Warna
Dan Tahun-Tahun Kembara. No komen.
Rage Rage Rage koleksi
tulisan amarah oleh penulis-penulis tersohor DuBook Press.
Dan buku terakhir saya baca
untuk tahun 2015, buku yang berada di sisi saya semasa saya menulis catatan
ini, buku Cerpen Terbaik 2014. Buku ini juga edisi terhad keluaran Fixi.
Cerpen-cerpen di dalamnya diambil secara rambang oleh penyunting Wan Nor Azriq
iaitu penulis buku Dompet Kulit Buaya.
Begitulah serba sedikit
bahan bacaan saya untuk dikongsi bersama ketika saya boring tak ada kerja.
Harus diingat ya, saya membaca bukanlah kerana hendak tunjuk poyo atau menunjuk
pada masyarakat yang kononnya saya ini pandai, berfalsafah atau bajet bagus,
saya membaca kerana saya berminat. Dan suka saya mengingatkan di sini, negara
yang maju kerana rakyatnya yang banyak membaca.
Jadi, kamu, kamu, kamu,
kamu dan kamu baca buku apa ? Berapa buah buku yang kamu baca dalam setahun ?
Atau baca dalam Wattpad jee ke ?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan