Isnin, 12 Oktober 2015

Kehilangan

Beberapa hari lepas, masa aku melepak bersama kawan aku di sebuah kedai makan, sedang aku dan kawan aku bercerita tentang kehidupan dan diselang-seli dengan ketawa riang, kawan aku dapat panggilan telefon. Tanpa menyedari atau mungkin alpa ada duka dalam gembira, kawan aku jawab panggilan telefon dengan bersahaja.

Dalam kiraan 5 atau 10 saat, aku tak pasti, tapi yang pasti aku nampak jelas air muka kawan aku berubah. Berubah 100%. Wajah yang tadinya ceria bercerita itu dan ini, kini tiada lagi. Tiada keceriaan dan senyuman di wajahnya seperti tadi. Yang ada hanya wajah kebingungan. 

"Mak aku....." Kawan aku bersuara. Perlahan tapi cukup jelas aku menangkap butir suaranya.

Aku diam. Apa yang aku fikir di dalam kepala masa itu mungkin mak kawan aku telefon sebab menyuruhnya balik ke rumah. Ataupun mungkin maknya menyuruh kawan aku bungkus makanan dibawa balik. Itu yang aku fikir.

"Mak aku meninggal....." 

Sebaik saja aku dengar apa yang dikatakan kawan aku itu, aku rasa seolah-olah dunia ini berhenti. Otak aku ligat berfikir dan sejujurnya aku tak tahu apa yang aku fikir dan aku tak tahu nak bagi reaksi macam mana ketika itu. Aku nak tenangkan kawan aku tapi aku tak tahu nak mulakan dari mana.

Aku cuma mampu tengok kawan aku teresak-esak menahan tangis. Aku tak dapat rasakan sepenuhnya apa yang kawan aku rasa tapi sedikit tempias kesedihan yang dialami turut aku rasa. Walaupun sedikit.

Apa yang aku bimbangkan, aku risaukan, kejadian seperti itu berlaku pada diri aku. Aku takut masa aku tengah bergembira, tengah leka dengan kerja, tengah lagho melepak atau apa-apa aku tengah buat, aku dikejutkan dengan panggilan telefon seperti ini. 

Sejujurnya aku belum bersedia untuk merasa terkejut dengan kehilangan orang yang aku sayang, Kehilangan orang yang bagi aku kasih sayang, orang yang besarkan aku dari sekecil-kecil manusia sehingga besar dewasa. Orang yang suapkan aku makanan ketika aku masih kecil dan tangannya memukul aku jika aku melakukan kesalahan.

Tapi aku cuba realistik, sekuat mana pun aku cuba melarang, segigih mana pun aku menghalang, akan tiba masa yang ditetapkan Tuhan seperti mana janji-Nya mati itu pasti. Bezanya mungkin lambat atau cepat, aku tetap akan merasa kehilangan.

Dan aku berharap bila tibanya saat yang dijanjikan oleh-Nya itu, aku sudah bersedia dengan segala kemungkinan dan menerimanya dengan hati terbuka.

Al-Fatihah, kawan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan