Sabtu, 25 April 2015

Makwe Yang Ingin Bermain gitar

"Bang, sini ada ajar main gitar tak ?" Tanya seorang makwe kepada saya. Bibirnya menguntumkan satu senyuman, senyuman  yang langsung tak ada "kick".

"Tak ada dik. Di sini kami hanya menjual saja, kami tak ada buat kelas mengajar" Saya jawap kemas ala-ala CEO syarikat carigali.

"Alaaa. Tapi abang reti main gitar kan ? Abang ajarlah saya sikit" Makwe itu merengek manja. Dilentokkan badannya ke kiri ke kanan seperti ranting pokok ditiup angin.

"Oh. Kalau bab basic abang boleh tolong ajarkan tapi mestilah kena ada gitar dulu, baru senang nak belajar. Belilah gitar dulu, abang ajar nanti" Lagi sekali saya jawap kemas acah-acah bos padahal saya hanyalah seorang kuli.

"Ermmm, saya dah ada gitar sendiri" Jawapnya sedikit ceria.

"Tak apalah. Jika begitu, ada masa nanti bawa gitar ke sini. Abang ajar sikit-sikit" Jawap saya kurang ceria. Saya sangka dia ingin membeli gitar dan minta tunjuk ajar tapi sangkaan saya meleset mendadak.

"Baiklah. Esok saya datang lagi. Errr, kena bayar tak ni ?" Tanya makwe itu sekaligus melibaskan rambutnya ke belakang. Sebiji macam Mak Lampir !

"Ok. Bayarannya rm50 untuk sebulan. Satu bulan abang akan ajar lapan sesi dan setiap satu sesi, 1 jam. Amacam ?" Saya jawab pertanyaan sekaligus beri keterangan.

"Baik. Jelas, esok saya datang. Minta no handphone abang boleh ?" Jawabnya dengan jawapan berbentuk soalan.

"Oh ya. Lupa, ni no abang. Bla bla piu piu." Jawab saya ringkas dan padat.

"Ok. Terima kasih bang" Katanya sambil berlalu pergi.


                                                     
                                           TRUT TRUT TRUT
Malam itu ketika sedang saya menonton tv, satu mesej masuk. Mesej itu berbunyi begini:

"Salam bang. Ni saya Syida yang nak belajar main gitar siang tadi. Minta maaf bang, tak jadilah pasal belajar main gitar tu. Gitar saya mak saya dah bakar buat kayu api bakar lemang dan mak saya kabor, gitar tu permainan Syaitan."

                                                     ***

Kucing saya bertempiaran berlari tak cukup tanah, tv yang saya tengok berkecai hancur, handphone yang saya pegang tadi, saya campak ke dinding lepas baca mesej tu. Gampang.


Jumaat, 24 April 2015

Saya Dan Pelanggan

     Pagi itu saya buka kedai seperti biasa, lewat 10 minit. Seperti biasa, 1 jam pertama waktu bekerja, saya akan duduk secara bermalas-malasan sambil memikirkan mimpi semalam: mimpi jadi Superman. Saya keliru bila memikirkan pasal mimpi itu kerana setiap kali saya memikirkannya, saya akan terfikir adakah saya ini manusia biasa ataupun Superman ? Sedang saya bermalas-malasan, ketenangan saya diragut oleh seorang pelanggan.

"Woi ! Gitar ni berapa harga ?!" Tanya seorang brader kepada saya dengan intonasi suara separuh menjerit.

"Rm650 je bang. Free bag, cable dan strap. Kalau abang nak, saya kasi rm600 cukup" Saya jawab dengan peramah lalu saya mengukir satu senyuman yang cukup manis. Saya rasa itulah senyuman paling manis yang pernah saya berikan kepada pelanggan.

"Arghhhhh ! Mahalnya !! Aku nak gitar ni rm300, aku tak kira !! Kau tepon bos sekarang !! Jawab brader itu dengan penuh angkuh sambil menyandar di dinding kedai.

     Intonasi suaranya agak kurang ajar dan membuatkan saya hampir-hampir berubah menjadi Orang Super Saiya ke-3. Saya bimbang jika saya berubah menjadi Orang Super Saiya ke-3, saya hilang kawalan lalu memusnahkan Kuantan Parade, mak nyah, ikan keli, pengkid dan manusia lain di bumi. Tapi bersyukurlah pada Tuhan kerana diberikan saya sikap penyabar yang power.

"Tak boleh bang. Harga ni semua ikut sistem komputer dan saya tidak boleh sewenang-wenangnya tepon bos saya. Saya tak dapat ikut kemahuan abang, maafkan saya' Saya jawab dengan rilekss walaupun hati saya "dup dap dup dap". Saya cuba rileksskan diri saya kerana jika saya turut bermain emosi bersama brader itu, potensi untuk saya kena hempuk dek gitar adalah sangat tinggi.

"Arghhhhh ! Kau belum tepon bos kau lagi, mana kau tahu tak boleh ?! Aku nak gitar ni macam harga aku nak tadi ! Aku tak kira !! Tengking brader itu dengan  suara yang lantang sambil menghentak-hentak kakinya ke lantai. Tingkah lakunya tidak ubah seperti anak kecil yang merajuk tidak dapat gula-gula.

"Macam inilah bang, saya malas nak bertekak. Kalau abang ada duit rm600, abang ambillah gitar ni tapi kalau abang tak ada rm600, biarlah gitar tu buruk di tempatnya !" Balas saya dengan suara yang agak keras. Dari cara percakapan saya itu, gaya saya tidak ubah seperti Harun Aziz di dalam movie Ombak Rindu. Tegas dan mantap.

"Oooooo. Nampaknya kau nak memperkotak-katikkan diri aku !! Dasar bajingan !! Bertukar !" Teriak brader itu kasar.

                                                  Pelepow pow pow

     Tidak semena-mena keadaan yang awalnya tenang dan kemudiannya agak tegang berubah menjadi kelam-kabut. Asap berkecamuk secara tiba-tiba setelah brader itu melaungkan kata keramat "BERTUKAR" dan bayang brader itu ditelan asap. Hal ini menyebabkan keadaan menjadi panik serta merta. Orang ramai bertempiaran lari menyelamatkan diri masing-masing. Makcik, pakcik, makwe berkasut tinggi, pakwe hipster, kanak-kanak riang berlari bagaikan tidak jejak bumi. Laju dan pantas bagaikan panahan petir menyambar syaitan.

     Saya tahu brader itu sedang berubah menjadi sesuatu yang "aneh" kerana dari pengalaman saya sepanjang meonoton tv, kebiasaannya mereka yang berteriak "BERTUKAR" ini akan berubah menjadi "aneh". Ya, seperti Gaban misalnya.

"Kahkahkahkah. Akulah Raksasa Puyuh Stim. Aku akan musnahkan kau kerana kau telah memperkotak-katikkan diri aku tadi" Brader itu bersuara setelah asap yang menyelubungi dirinya beransur hilang.

     Saya yang tadinya sedang minum air nescafe sementara menunggu perubahan brader itu terperanjat seperti kutu babi. Rupanya yang agak hodoh itu membuatkan airmata saya berlinangan kerana menahan tawa. Matanya petak seperti lampu kereta, bibirnya besar seperti tayar treler, hidungnya pula kemek seperti dilanggar lori. Rupa rakasasa yang diberi nama Raksasa Puyuh Stim itu langsung tak sedap mana-mana mata yang memandang. Nampak macam langsung tak berguna.


                                         KRIIIINNGGGGGGGGGG

     Jam loceng berbunyi panjang. Barulah saya sedar yang rupa-rupanya saya bermimpi. Nampaknya saya betul-betul Melayu sejati kerana ada pepatah lama mengatakan: "Bukan drama Melayu namanya kalau tak ada adegan mimpi"

Ahad, 19 April 2015

GST Menyerang Negara Bahagian 2

     Sebagai seorang penjual peralatan muzik yang berwawasan dan steady orangnya, saya turut terkesan dengan cukai GST atau dengan nama sainstifiknya Golongan Susah Tertindas. Dari mana nama sainstifik GST(Golongan Susah Tertindas) ini tercipta tidaklah saya tahu, tetapi apa yang saya pasti ianya direka oleh pihak pembangkang dalam usaha menjatuhkan kerajaan bertauliah: UMNO.

     Ok, persetankan pasal itu. Sebenarnya saya cukup kesal dan hampir-hampir menitiskan airmata rockers saya kerana walaupun sudah hampir sebulan GST dilaksanakan, masih ada segelintir umat manusia yang masih tidak memahami GST. Dari pemerhatian saya yang steady ini, boleh dikatakan 8 dari 10 pelanggan tidak memahami GST. Menurut firasat saya yang agak luar biasa ini, mereka ialah manusia buta kayu pemalas yarabi kerana malas mencari info di zaman serba canggih yang semua info terkini hanya terletak di hujung jari.

     Saya pernah berkelahi/meninggi suara/nyaris berperang dengan pelanggan yang ingin membeli gitar tetapi kegagalan mereka memahami GST, baik dari segi baik mahupun buruk sangatlah menegangkan perasaan saya. Kata mereka, alat muzik tidak dikenakan GST dan dituduhnya saya cuba menipu mereka. Tuduhan liar sebegini membuatkan saya tersinggung dan berkecil hati. Dan kena marah dengan pelanggan yang tidak memahami GST langsung tidak boleh dijadikan kenangan terindah sepanjang kehidupan.

     Saya faham benar dengan mereka kerana saya juga pengguna tetapi menyalahkan kami: Penjual bukanlah satu tindakan yang bernas dan bertamadun. Kami; Penjual hanya mengikut kehendak kerajaan dalam usaha memajukan negara.

     Sehingga ke akhirnya, jika anda rasa kami; Penjual menipu anda, bolehlah anda pergi report di mana-mana tempat sepatutnya. Dan jika anda mahu marah, pergilah berdemo di mana- mana jalan marahkan kerajaan, marahkan kami; Penjual tidak akan menguntungkan mana-mana pihak.

                                           

Jumaat, 10 April 2015

Aqu Cayunk Kamoo

     Masalah mengeja serupa cilaka ni sebenarnya aku tak tahu siapa yang mulakan dulu. Mungkin ada segelintir masyarakat menggunakan kuasa telepati lalu bersepakat mengeja serupa orang tak pernah sekolah sebabnya gejala mengeja berterabur semakin menular di kalangan masyarakat. Kalau budak sekolah yang mengeja macam tu aku tak ada hal sangat tapi bila orang dewasa yang acah-acah comel pun mengeja macam tu, maka habislah kita masyarakat Bumi. Kawan aku pernah cakap yang pengaruh berhak bertanggungjawab sepenuh ke atas mereka yang mengeja tatabahasa berterabur ni.

     Hal mengeja berterabur ni jangan pandang remeh sebab hal ni kalau tak dicegah lebih awal ada kemungkinan makcik-makcik dan akak-akak bertudung senteng akan terpengaruh dengan gejala tidak sihat ini.

     Aku berpendapat cikgu/ibu bapa/abang/rakan taulan/kucing peliharaan/musuh ketat harus peka dan mengambil berat dengan masalah ini. Pantau mereka yang mengeja berterabur dan hukuman berat dikenakan ke atas mereka. Jenis-jenis hukuman berat adalah:

1: Paksa mereka bina piramid dengan menggunakan batu-bata sebesar kereta Kancil
2: Paksa mereka minum air sabun berbuih berperisa lemon
3: Santau angin mereka dengan memberi mereka makan lepat pisang
4: Hapus/haramkan muzik K-Pop

     Bila adanya hukuman berat seperti ini barulah masyarakat berasa serik nak mengeja berterabur, bila masyarakat dah mengeja dengan baik tidaklah orang ramai pening kepala. Sekali lagi aku tegaskan, masalah ini perlu dicegah demi kesejahteraan generasi akan datang. Jangan sampai Fliza turun ke Bumi dan musnahkan penduduk Bumi, bila tibanya saat itu, menyesal pun dah tak berguna.

     Aku berharap cadangan aku ini dibawa ke parlimen.

Rabu, 1 April 2015

GST Menyerang Negara

     GST ni bagus ni sebenarnya. Selain mampu merabakkan poket yang sudah sedia kering. GST ini juga membuatkan duit syiling 5sen digunakan dan disayangi oleh rakyat Malaysia tidak kira peringkat umur. Jika sebelum ini duit syiling 5sen dicampak merata-rata, dibuat baling anjing, diisi dalam tabung menderma di Mekdi, kini duit syiling 5sen membuat "kambek" dan kembali digunakan.

     Berkat menggunakan kembali duit syiling 5sen, saya berpendapat Wawasan 2020 nanti kita rakyat Malaysia sudah mampu memiliki kereta terbang kita sendiri kerana duit syiling 5sen mampu menjana ekonomi negara.